19 August 2015

Dunia jangan jadi bebanan.

Kalau pakai kereta yang biasa-biasa walaupun kita sebenarnya mampu beli kereta yang lebih mahal, kalau tercalar sedikit sebanyak, taklah sampai TERCALAR HATI kita melihatnya. Taklah sampai hilang kewarasan kita.

Bagi saya, kekayaan bukan sekadar apa yang kita pamerkan, tapi kekayaan juga ialah apa yang kita rasa dalam hati. Jangan sampai ‘dunia’ tu jadi bebanan kepada kita. Kalau pakai kereta mahal, tercalar sedikit sebanyak tak terasa apa-apa, itu maksudnya kita benar-benar mampu. Tapi kalau terpaksa bergolok gadai untuk pakai kereta besar, tercalar sikit pun dah hilang akal, lebih sayang kereta berbanding anak, maksudnya kereta tu bukan level kita lagi. Walaupun orang nampak kita kaya, tapi hakikatnya ia satu bebanan kepada kita.

Ukur Emosi Tentang Kemampuan

Contohnya lagi, pakai jam mahal-mahal, tetiba jam tu tertinggal masa ambil wudhuk dan bertahun-tahun kita masih ingat jam tu, itu satu bebanan. Pakai selipar mahal-mahal, lepas tu nak singgah solat di masjid pun takut selipar tu kena rembat, itu satu bebanan. Pakai handphone mahal-mahal, bila hilang dah tak mampu ganti baru, itu satu bebanan.

Tapi kalau kekayaan kita tu cukup untuk tanggung bebanan tu, setakat hilang jam mahal tu tak terasa apa, beli lah jam tu tak ada masalah. Pakai selipar mahal, singgah di masjid pun tak mengganggu khusyuk kita dalam solat, beli lah selipar tu. Beli handphone mahal, tetiba anak buat terjatuh tapi kita masih boleh cool, tak sampai marah anak macam sayang handphone lebih daripada anak, beli lah handphone tu. Maksudnya, apa yang kita pakai tu memang ‘ringan’ berbanding kewangan kita.

Orang Kaya Ahli Syurga

Bila saya cakap hidup bersederhana, bukan bermaksud suruh jadi miskin. Miskin dan zuhud jauh bezanya. Nabi s.a.w. tak pernah suruh kita jadi miskin. Bahkan dua daripada lima rukun Islam disyariatkan hanya untuk orang kaya i.e. zakat dan haji. Tambah lagi, ramai sahabat Nabi s.a.w adalah orang kaya-kaya, hingga dikatakan 9 daripada 10 sahabat yang dijamin masuk Syurga tu adalah orang kaya! Yang tak kaya cuma Saidina Ali jer. Yang lain tu, sudahlah kaya, ahli Syurga pulak tu!

Dalam hal ni, saya nak petik salah satu pesanan Asy-Syahid Hassan Al-Banna kepada ahli Ikhwanul Muslimin berkenaan dengan harta benda, iaitu katanya;

“Bukanlah zuhud itu meninggalkan dunia dikuasai orang kafir berseronok dengan kekayaan dunia, sedangkan orang Islam terhalang dari menguasainya… Malah hakikat zuhud ialah memiliki dunia sehingga sama sahaja di sisimu di antara EMAS dan TANAH. Hendaklah engkau menikmati kurniaan Allah dan memerangi orang-orang kafir”

Bahagia Hidup Bila Bersederhana

Zuhud tu maksudnya memiliki dunia (kekayaan) sampai sama sahaja bagi kita antara EMAS dan TANAH! Ia bukan soal material sahaja, tapi juga soal emosi tentang kekayaan.

Jadi nak bermewah boleh, tapi biarlah sesuai dengan emosi kita menanggungnya. Kalau tak mampu tanggung beban emosi tu, saya rasa kita lebih bahagia hidup bersederhana (walaupun kita mampu lebih lagi) supaya dunia tu tak sangat membebankan kita. Carilah dunia sebanyak mana pun tak apa, tapi perpada-padalah dalam menikmati dunia.

Wallahu a’lam
♥ TERIMA KASIH. DATANG LAGI ♥

Si kaya dan Si Miskin

Kekadang bila Allah bagi kita sedikit kesenangan, kita lupa, nampak hebatnya orang kaya sebab adanya orang miskin. Nampak hebatnya kita sebagai boss sebab kita ada staff bawahan kita. Nampak hebatnya kita sebagai senior sebab ada yang lebih junior dari kita. Dan nampak hebatnya seorang raja dan pemimpin sebab adanya rakyat. Tanpa ada orang lain, kita sebenarnya tak hebat pun.

Kalau semua orang kaya, semua orang akan susah. Tak ada yang sanggup jadi security guard. Tak ada yang sanggup jadi cleaner. Tak ada yang sanggup jadi tukang kebun. Tak ada yang sanggup cuci kolam renang tempat orang kaya mandi. Tak ada yang sanggup jadi kerani management office kediaman orang kaya. Pada waktu itu, hebat tak orang kaya? Tentunya tak hebat. Sebab walaupun dia orang kaya, dalam masa sama dia juga kena jadi tukang kebun sendiri, jadi cleaner sendiri, terpaksa bergilir-gilir jadi sekuriti guard sendiri, dan semuanya kena buat sendiri! Nah, susahnya hidup orang kaya tanpa orang miskin yang membantu.

Samalah juga dengan orang miskin. Kalau semua orang miskin, semua orang akan susah. Orang miskin susah dapat barang keperluan hidup sebab tak ada orang kaya yang berniaga. Orang miskin tak ada tempat berteduh sebab tak ada orang kaya yang buat projek rumah-rumah kediaman kos murah dan sederhana. Orang miskin tak ada tempat untuk bekerja sebab tak ada orang kaya yang boleh gajikan pekerja. Pendek kata, orang miskin akan jadi lebih susah bila tak ada orang kaya.

Si Kaya Dan Si Miskin Saling Memerlukan

Masa itu baru kita sedar, sempurnanya hidup ini sebab Tuhan jadikan manusia yang berbagai. Ada yang kaya, ada yang miskin. Orang kaya perlukan orang miskin, dan orang miskin perlukan orang kaya. Si kaya dan si miskin masing-masing saling memerlukan. Tanpa wujudnya dua golongan ini dalam satu masyarakat, semua orang akan jadi susah.

Harmoninya hidup bermasyarakat, bila si kaya dan si miskin saling berperanan dan saling menghormati. Si kaya yang sedar diri tak tak lokek untuk memberi (walaupun sekadar senyuman atau mengangkat tangan tanda hormat bila berselisih), dia akan hidup bahagia. Kalau dia orang kaya dalam sesuatu tempat, dia akan jadi orang kaya yang dihormati dan dilindungi orang si miskin di tempatnya. Si miskin suka bekerja dengan si kaya yang baik hati. Maka senang dan bahagialah hidup si kaya itu.

Si miskin yang tak meminta-minta, bekerja dengan jujur dan amanah, dia akan disukai oleh orang kaya. Orang kaya tak berkira untuk beri upah lebih atas kerjanya yang terbaik. Ada sahaja ‘projek’ baru, si miskin itu dulu akan dicari untuk diberikan kerja. Ada rezeki lebih, si miskin itu dulu yang si kaya cari untuk dikongsikan rezeki. Bila ada peluang-peluang baru, si miskin itu dulu akan diberikan peluang untuk maju. MasyaAllah… Senangnya hidup si miskin bila bila dia tahu berperanan sebagai si miskin. Dia akan jadi si miskin yang dibela nasibnya oleh si kaya.

Si Kaya dan Si Miskin Yang Bahagia

Itulah realiti kehidupan. Kita semua saling memerlukan. Orang kaya ada tanggungjawab membantu orang miskin. Orang kaya Allah wajibkan zakat ke atas mereka, dan disunatkan bersedekah. Orang miskin, Rasulullah suruh bekerja dengan amanah untuk cari rezeki, bukan dengan meminta-minta.

Kaya atau miskin, itu bukan membezakan kemuliaan kita di sisi Tuhan. Yang membezakan kita semua ialah taqwa iaitu bagaimana kita memanfaatkan posisi kita sebagai orang kaya atau orang miskin untuk surrender kepada Tuhan. Akhir sekali yang tetap akan bahagia ialah orang bertaqwa. Tak kira dia si miskin ataupun si kaya. Kedua-duanya tempatnya di Syurga…

Wallahu a’lam.

“Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya-raya dan setengahnya miskin menderita). Dan juga Kami telah menjadikan setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain, (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik daripada kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan” (Az-Zukhruf 43 : 32)
♥ TERIMA KASIH. DATANG LAGI ♥