9 June 2016

Selepas susah ada kesenangan .

Bila baca kisah-kisah kejayaan, saya boleh katakan semua orang berjaya pernah lalui ujian kesusahan. Ujian kesusahan itulah yang membuatkan dia bangkit berdiri dan berjaya pada hari ini. Jadi bila hadapi kesusahan, berbaik sangkalah kepada Tuhan. Ada sesuatu yang besar yang Dia nak bagi kepada kita nanti, insyaAllah.

Terus berusaha dan berdoa, minta Allah tunjukkan jalan. Hikmah kesusahan itu akan nampak pada masa akan datang. Waktu itu pasti kita akan fikir, “nasib baik Allah bagi aku susah waktu dulu. Kalau tak, mustahil aku boleh sampai ke tahap sekarang”, insyaAllah. Dan itulah juga yang saya fikir hari ini; “Nasib baik Allah bagi aku rasa susah 10 tahun lepas”. Dari susah itulah saya sedar, belajar dan bangkit sampai hari ini.

Kekadang kita rasa ujian kesusahan itu berat bagi kita, tetapi bila difikirkan balik, bukankah Nabi Muhammad s.a.w yang Tuhan sayang itupun diberi ujian susah lebih dari kita? Apatah lagi kita hanyalah insan biasa.

Tuhan Lebih Tahu Apa Yang Terbaik

Yang kedua, kita perlu tahu, bukan semua yang kita harapkan mesti dapat, sebab Tuhan lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Kita mengharapkan itu dan ini, tetapi percayalah, Allah nak bagi lebih baik dari apa yang kita harapkan itu. Dan Dia lebih tahu bila waktu terbaik untuk kita.

Banyak perkara yang saya harapkan 10 tahun dahulu; ada yang saya sudah dapat, ada yang Allah tangguhkan hingga beberapa tahun baru dapat, ada yang saya masih belum dapat hingga ke hari ini, dan ada sebahagiannya saya telahpun keluarkan dari senarai “kehendak” itu. Tapi bila muhasabah balik, sebenarnya Allah sudah bagi berbagai kecukupan untuk saya bersyukur. Bahkan apa sebenarnya yang Tuhan bagi itu lebih mahal dari wang ringgit, yang orang kaya pun tak mampu membayarnya… (Alhamdulillah)

Jadi teruslah berdoa, berusaha dan bertawakkal. Banyak-banyak bersabar atas apa yang kita usahakan itu. Susah-susah kita di Malaysia, sekurang-kurangnya masih boleh makan dan masih ada tempat berteduh…

Dunia yang kita kejar-kejarkan itu akhirnya nanti tetap akan kita tinggalkan juga kan? Jadi jangan dirisau-risaukan sangat… Yang penting, teruslah berusaha.

Rezeki Tak Tahu Di Mana

Dalam berusaha, guru saya pesan, berusahalah sampai Tuhan kesian pada kita. Rezeki kita tak tahu di mana, tetapi rezeki tu Tuhan sudah sediakan untuk kita. Kalau kita dah usahakan perkara betul dan buat betul-betul, kejayaan tu pasti ada. Cuma kita tak tahu, bila waktunya dan dari jalan mana Tuhan akan hulurkan rezeki itu untuk kita.

Jadi teruslah meminta-minta pada Tuhan, dan buktikan dengan usaha yang sepadan supaya permintaan itu Tuhan makbulkan. Antaranya, saya cuba paksa diri bangun awal pagi, dan mulakan usaha berpagi-pagian lagi, sebab rezeki itu di awal pagi. Bila mulakan kerja awal pagi, banyak perkara yang boleh diselesaikan pada hari tu berbanding hanya mula kerja bila keluar matahari.

Rezeki Si Peniaga Babi

Tuhan itu Maha Pemurah sifatNya. Dia berikan rezeki kepada semua manusia tak kira muslim atau non-muslim. Siapa berusaha, dia akan dapat, insyaAllah. Rezeki si peniaga babi (non-muslim) yang bangun dan mula berniaga di awal pagi lebih baik dari si muslim yang pukul 10.00 baru bangun cari sarapan pagi! Jadi usaha kita perlu sepadan dengan apa yang kita doakan itu.

Kalau baca kisah-kisah mereka yang berjaya, kita akan realise; patutlah Tuhan berikan kejayaan kepada mereka. Mereka betul-betul cukup syarat untuk berjaya. Ia bukan persoalan “L-U-C-K”, tapi persoalan “W-O-R-K”…

Wallahu a’lam.

Credit : Mohd Zulkiflie Shafie


♥ TERIMA KASIH. DATANG LAGI ♥

No comments:

Post a Comment